MASTI DAN PRAGMATIS SANTUNI 50 ANAK YATIM

Nilai, 25 April 2022 – Seramai 50 anak-anak yatim dan asnaf Baitul Baraqoh Ummul Qura, Bandar Enstek disantuni bersempena program Ramadan 1443H, Iftar Jama’i bertempat di Kompleks Islam Tunku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) anjurna bersama oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS). 

Ketibaan anak-anak syurga cilik terdiri daripada 41 orang perempuan dan 9 orang lelaki bersama lima orang guru pengiring disambut sebaiknya oleh urusetia PRAGMATIS yang berkesempatan menunaikan solat Asar di KITM sebelum acara dimulakan.

Dalam Tausiah Ramadan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beliau menyatakan balasan menjaga anak yatim adalah menjadi orang yang akan berdampingan dengan Rasulullah, justeru beliau mengatakan usaha ini perlu diteruskan. 

“Mudah-mudahan anak-anak ini yang akan memetakan negara kita dengan kecemerlangan dan kegemilangan pada masa akan datang,” ucapnya.

Presiden PRAGMATIS, En. Mohd Salehudin Shukor memanjatkan syukur atas pelaksanaan program yand diurusetia oleh Pegawai Pentadbir USIM yang berjaya mencapai matlamat penganjuran bagi mendidik jiwa dan mensuci rohani selain menyediakan platform sumbangan untuk disalurkan kepada anak-anak yatim. 

“Diharapkan agar program ini mampu memberikan kegembiraan berganda kepada anak-anak ini di bulan Ramadan dan sebagai salah satu tanggungjawab sosial PRAGMATIS kepada masyarakat setempat dan sesama saudara Islam,” ujarnya.

Difahamkan acara sulung ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan perancangan susulan seterusnya untuk menjadikan Baitul Baraqoh Ummul Qura sebagai rumah asnaf angkat PRAGMATIS agar program murni khidmat komuniti dan bantuan sumbangan dapat dilaksanakan secara berpanjangan.

Selain penyerahan sumbangan daripada PRAGMATIS, turut memberi sumbangan adalah daripada MASTI, Global Peace Malaysia (GPM), PEKERTI Universiti Malaya, MASTI, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UIAM serta penyumbang individu. Dianggarkan jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan berjumlah RM 6,570.00. 

Program Iftar Perdana ini turut dihadiri oleh Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, ahli MASTI dari UNIMAP, UiTM, UM dan UPM, wakil GPM serta jemputan luar.

“Demi Allah yang mengutus aku dengan kebenaran di hari kiamat Allah S.W.T tidak akan mengazab orang yang mengasihi anak yatim dan berlaku ramah padanya serta manis tutur katanya. Dia benar-benar menyayangi anak yatim dan mengerti kekurangannya, dan tidak menyombongkan diri pada tetangganya atas kekayaan yang di peroleh Allah kepadanya.” (Hadis Riwayat Thabrani)