PRAGMATIS KERJASAMA UNTUK SUMBANG MAKANAN ASAS KEPADA WARGA USIM YANG TERKESAN DENGAN PELAKSANAAN PKP DAN PENULARAN COVID-19

NILAI, 31 Mac 2020 – Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April 2020 hadapi Covid-19, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melaksanakan program University Social Responsibility (USR) bagi membantu staf USIM yang memerlukan melalui agihan barangan asas, beras dan gula. Semangat saling membantu dan meringankan beban antara warga dapat dilihat melalui usaha murni ini.

Program prihatin ini menggambarkan kebersamaan warga USIM yang melibatkan penganjuran bersama Badan Kebajikan Kakitangan (BKKUSIM), Koperasi USIM, Pusat Alumni & Kerjaya USIM dengan kerjasama KUSIMA, Persatuan Kakitangan Akademik (PKA USIM), Pusat Wakaf & Zakat USIM, Penerbit USIM, PRAGMATIS dan Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL).

”Pengagihan barangan keperluan asas yang diberikan adalah berupa beras 10 kg dan gula 1 kg kepada staf yang memerlukan tanpa dikenakan sebarang syarat. Program USR ini adalah inisiatif penglibatan pelbagai pihak di Universiti merangkumi persatuan pengurusan dan profesional, kakitangan sokongan dan kakitangan akademik menghulurkan bantuan,” ujar Pengerusi BKKUSIM, Prof Madya Dr Azman Abdul Rahman.

”Saya mengharapkan inisiatif ini dapat membantu kakitangan USIM secara menyeluruh dan merasakan inilah masanya kami memainkan peranan sewajarnya. Bukan hanya BKKUSIM, malah persatuan lain di USIM secara tidak langsung menjadi contoh peneraju serta pelopor penyumbang dalam program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan di masa akan datang sesuai dengan tagline ’Kebajikan Anda, Keutamaan Kami’,” ujarnya lagi.

Tambahnya, BKKUSIM sedang berusaha mencari tambahan dana dari syarikat dan orang persendirian untuk menzahirkan sokongan kepada usaha murni melalui saluran Tabung Covid USIM (05058010021477-Bank Islam).

Pengagihan ini dibuka pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang bertempat di Pejabat Koperasi USIM. Setiap kakitangan hanya perlu mengemukakan nombor staf dan mengambil barangan yang disediakan.