Masyarakat dilihat sudah boleh memahami dan mengadaptasi salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mencegah penularan COVID-19 iaitu mematuhi penjarakan fizikal. Jika sebelum ini, pelbagai aktiviti sosial, keraian dan pelbagai lagi boleh dilakukan dengan kehadiran ramai orang serta penjarakan fizikal. Pastinya kita merindui suasana majlis perkahwinan yang meriah dengan ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai mahupun makan semeja beramai-ramai di restoran dan kedai mamak.
Namun selepas kedatangan pandemik Covid-19, norma kehidupan sosial masyarakat telah berubah secara total, hinggakan suami isteri pun tidak boleh duduk rapat walaupun semeja untuk makan di restoran kerana mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Pematuhan kepada penjarakan fizikal secara tidak langsung menghalang setiap individu untuk duduk dengan rapat bersama individu lain meskipun terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan, kenalan dan sebagainya.
Penulis melihat penjarakan fizikal juga dikupas dari perspektif agama iaitu jika dilihat dari sudut pandangan Islam, setiap individu perlu menganggap semua orang di sekelilingnya selain dari keluarganya sebagai bukan mahram, yang haram untuk bersentuh. Pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal ini secara tidak langsung mendidik umat Islam untuk menghayati nilai dan adab dalam Islam yang sentiasa menekankan kepada mengamalkan penjarakan sesama bukan mahram dalam apa jua situasi dan keadaan.
Agama kita menyeru agar lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk sentiasa menjaga jarak agar tidak berlaku ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan), mengasingkan barisan antara lelaki dan perempuan, menjarakkan diri apabila berinteraksi dengan bukan mahram dan memisahkan ruang apabila berada di dalam suatu lokaliti atau bangunan yang sama. Tindakan ini sekaligus berupaya mencegah daripada berlakunya aktiviti aktiviti yang membawa kepada kemaksiatan apabila berada dalam pertemuan sosial yang melibatkan interaksi seperti majlis jamuan, acara keraian dan lain-lain aktiviti.
Kelekaan dan pengabaian kepada menjaga jarak antara bukan mahram merupakan salah satu punca kepada masalah sosial khususnya dalam kalangan remaja kini sehingga berlaku kes buang anak, bersekedudukan antara bukan mahram, seks bebas, sumbang mahram dan sebagainya. Sesungguhnya maksiat yang ditafsirkan sebagai perkara kemungkaran yang boleh membawa manusia kepada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah perlulah kita jauhi.
Berbalik kepada sebab kenapa manusia diciptakan, tidak lain hanya untuk beribadah kepada Allah sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam maksud Surah Az-Dzariyat ayat 56, “Dan aku ciptakan jin dan manusia hanya untuk beribadah kepadaku”. Maka tidak dapat tidak, menjadi tanggungjawab hambaNya untuk menggunakan nikmat tubuh badan dan seluruh pancaindera untuk taat kepada perintah Allah dan sentiasa menjauhi perkara maksiat.
Semoga hikmah pandemik ini menjadi medan muhasabah diri untuk berhijrah dari melakukan perkara maksiat kepada cara hidup norma baharu yang sebenarnya telah diperintahkan oleh Allah SWT sekian lama untuk hambaNya taati.
Oleh:
Al ‘Uyuna Mohd Amin
Penolong Pendaftar Kanan
Pusat Perumahan Pelajar
Sumber asal: https://www.usim.edu.my/news/in-our-words/hikmah-penjarakan-fizikal-dalam-mencegah-perbuatan-maksiat/