PRAGMATIS ANJUR MAJLIS MAKAN MALAM PRAGMATIS UNTUK MERAIKAN AHLI-AHLI

NILAI, 31 Mac 2014 – Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mencapai genap empat tahun penubuhannya pada 31 Mac 2014 telah menganjurkan Majlis Makan Malam PRAGMATIS bertempat di Nilai Springs Resort & Hotel.

PRAGMATIS yang ditubuhkan secara rasmi melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai wadah mengumpulkan dan merencanakan aktiviti khusus untuk Pegawai Pengurusan & Profesional di sektor Pentadbiran & Ikhtisas di USIM serta menjaga kebajikan para ahli persatuan. Justeru itu, penganjuran Majlis Makan Malam PRAGMATIS ini bukan sahaja bertujuan untuk menyambut ulangtahun penubuhannya, pada masa sama menjadi wadah untuk merapatkan silaturrahim sesama ahli persatuan dan Pengurusan Universiti.

Majlis yang berlangsung secara sederhana bagi menghormati tragedi kehilangan Pesawat MH370 disertai kira-kira 60 pegawai Universiti dari pelbagai skim perkhidmatan antaranya Pegawai Tadbir, Pustakawan, Pegawai Sains, Bendahari dan lain-lain turut meraikan kehadiran YBhg. Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM selaku jemputan khas ke majlis tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, Pendaftar USIM memberi penekanan bahawasanya kecemerlangan sesebuah Universiti memerlukan kerjasama dan komitmen yang tinggi oleh setiap warganya yang terdiri daripada Pengurusan Tertinggi, Ahli Akademik, Pentadbir, Kumpulan Sokongan dan pelajar.

“Pentadbir yang terdiri daripada Pegawai Pengurusan dan Profesional yang ditempatkan di setiap Jabatan di Univeristi ini telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dasar Universiti secara berkesan dan pada masa sama, kumpulan ini turut menjadi sebahagian daripada kelompok rujukan oleh Pengurusan Universiti dalam penggubalan dasar”.

Katanya lagi “Pegawai Universiti perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan agar profesionalisme perkhdimatan dan imej Universiti sentiasa ditonjolkan secara positif dalam lakuan dan amalan seharian.  Ini kerana, kepakaran yang dimiliki oleh setiap Pegawai Universiti dalam bidang pentadbiran dan pengurusan boleh dikongsikan dengan pihak luar untuk kebaikan bersama”

Selain menikmati makanan, pengisian lain adalah bertukar-tukar hadiah, cabutan bertuah dan memotong kek. Melalui majlis ini juga, PRAGMATIS turut mencadangkan untuk mengadakan Hari Pentadbir USIM pada 31 Mac setiap tahun untuk pertimbangan Pengurusan.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm