PRAGMATIS Mendukung Penuh Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Tidak Dijual dan Kekal Sebagai Aset Strategik Negara

PRAGMATIS menyokong penuh pengumuman YAB Perdana Menteri, YB Menteri Kewangan dan YB Menteri Pengangkutan yang mengesahkan bahawa Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) kekal sebagai operator Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) sepanjang tempoh konsesi sehingga tahun 2067 dan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

PRAGMATIS berbangga dengan kesungguhan Malaysia Airport dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung, Sabah dan Labuan serta Sarawak (KESMA, KEPEMAB DAN KEPMAS) dalam memastikan LTSAAS kekal sebagai aset strategik negara. Ia melambangkan kebangkitan patriotisme yang patut dicontohi semua penjawat awam dan juga rakyat Malaysia. PRAGMATIS menentang usaha pengambilalihan LTSAAS oleh WCT Berhad melalui anak syarikat mereka Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk membangunkan projek hartanah mewah dan gedung membeli belah yang jelas bermotifkan ‘keuntungan maksimum’ ketika negara sedang mengalami krisis.

PRAGMATIS yakin pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan oleh Malaysia Airports akan tercapai berasaskan komitmen yang ditunjukkan warga kerjanya mempertahankan LTSAAS ini. Kami berharap Malaysia Airports mencapai kejayaan besar melaksanakan Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030 demi kebaikan rakyat khasnya.

PRAGMATIS bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana prihatin dengan masa depan industri penerbangan dan aeroangkasa negara dalam usaha ‘Regenerasi’ atau penjanaan semula negara demi rakyat tercinta.
PRAGMATIS menyeru seluruh penjawat awam dan rakyat Malaysia terus aktif menyokong kerajaan dengan memberikan sumbangan idea dan usaha dalam membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19 dan seterusnya menyokong Pelan Pemulihan Negara.

Salam perjuangan,
MOHD SALEHUDIN SUKOR
Presiden
Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia (PRAGMATIS)
25 Jun 2021