PRAGMATIS SERTAI PROGRAM TANGUNGJAWAB SOSIAL VCORE 2021 ANJURAN MASTI

CHENANG, 3 Disember 2021 – Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) telah mengadakan Mesyuarat Eksekutif MASTI Kali ke-37 Bil. 4/2021 dan program Volunteerism & University/Corporate Responsibility (VCORE) bertempat di Nadias Hotel, Chenang, Pulau Langkawi, Kedah. Mesyuarat ini merupakan mesyuarat terakhir MASTI pada tahun 2021 di mana mesyuarat membincangkan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan pada tahun berikutnya serta dengan beberapa agenda penting dalam memastikan MASTI terus relevan dalam memperjuangkan hala tuju Pentadbir Universiti Awam (UA). Sesi ucapan pembukaan mesyuarat ini disampaikan oleh YBrs. Haji Saad Din, Pendaftar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang turut menyampaikan hasrat beliau agar MASTI dapat memperjuangkan Pentadbir UA dalam memacu kejayaan institusi pendidikan tinggi negara.

Mesyuarat tersebut diadakan bersekali dengan program VCORE yang merupakan acara tahunan MASTI bagi merapatkan jurang antara Pentadbir UA dengan masyarakat disamping meningkatkan tahap kebertanggungjawab Pentadbir UA terhadap kebersihan alam sekitar. Program VCORE pada kali ini mendapat kerjasama dengan pihak Lembaga Pembagunan Langkawi (LADA) dan majlis pelancaran VCORE kali ini dirasmikan oleh YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA yang turut berkongsi dengan MASTI berkaitan dengan perjuangan hala tuju Pentadbir ini turut dibuat oleh LADA yang merupakan agensi di bawah kerajaan seperti UA.

Program VCORE dilaksanakan di sekitar pantai di Pulau Langkawi yang melibatkan 40 orang daripada wakil semua UA termasuk dua (2) orang wakil dari Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penggerak utama program VCORE kali ini adalah dengan kekuatan jentera seramai 20 orang sekretariat daripada Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang juga merupakan tuan rumah bagi penganjuran VCORE 2021. Program kali ini melibatkan proses pembersihan dan kutipan sampah sarap di pesisir pantai Pulau Langkawi yang telah kembali beroperasi semula setelah hampir dua (2) tahun tidak dapat beroperasi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak Covid-19. Peserta pada program VCORE ini turut berkongsi perasaan yang gembira setelah selesai melaksanakan program tanggungjawab sosial ini di samping dapat menikmati keindahan alam di Pulau Langkawi setelah sekian lama tidak keluar daripada rumah disebabkan PKP.

Disediakan oleh

Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
6 Disember 2021