PENULARAN wabak Covid-19 yang menjangkiti manusia di seluruh dunia belum menampakkan penurunan, malah dilihat semakin membimbangkan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes jangkitan pertama mula dilaporkan berlaku di Myanmar, Belize, Dominica dan Libya sekali gus ia menyumbang kepada pertambahan mereka dijangkiti Covid-19 yang kini sudah melebihi angka 422,000 orang dengan di Eropah saja sudah melebihi 195,000 kes jangkitan.
Dengan jumlah setinggi ini yang dijangkiti, Covid-19 turut menjadi ‘pembunuh’ yang digeruni apabila sudah meragut lebih 18,000 nyawa sehingga kini.
Beberapa negara yang terjejas dengan serangan Covid-19 mengambil tindakan drastik melaksanakan kawalan pergerakan, lockdown atau seumpamanya untuk membataskan pergerakan rakyat masing-masing bagi memutuskan rantaian jangkitan secepat mungkin.
Malaysia juga turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu hingga 31 Mac, tetapi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melanjutkan lagi tempoh ini sehingga 14 April 2020.
Melalui minggu pertama PKP bukan sesuatu yang mudah bagi rakyat Malaysia duduk diam di rumah kerana banyak cabaran dihadapi dan banyak juga ragam ditangani.
Di luar rumah pula kisahnya berbeza, letih abang polis dan askar melayan kedegilan segelintir rakyat yang masih ingin berjalan-jalan, bersiar-siar dan bersesak-sesak di tempat awam. Kerajaan sudah berikan kita satu tugas untuk mengekang Covid-19 iaitu duduk diam di rumah saja.
Malaysia sudah mencatat 37 kematian dengan jumlah kes positif mencecah angka 2,626 orang. Malah, yang membimbangkan, 673 kes dicatatkan dalam masa seminggu iaitu peningkatan lebih sekali ganda.
Pada masa kini, 34 peratus daripada 3,585 katil di 34 hospital di seluruh negara yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 sudah digunakan. Masih berbaki 66 peratus katil kosong, adakah kita mahu 100 peratus ia diisi?
Pada masa kita gelisah dan mati kutu di rumah, anggota kesihatan kita yang bertindak sebagai frontliner memerangi wabak ini tidak pernah dapat merasa duduk diam, goyang kaki, berehat dan bersantai seperti kita.
Sebak hati penulis apabila mendengar satu rakaman audio rayuan seorang petugas kesihatan yang mahukan kerjasama dan disiplin rakyat Malaysia untuk patuh arahan PKP ini. Kerajaan sendiri menyedari dan mengakui ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan kerana terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.
Atas sebab itu Majlis Tindakan Ekonomi pada Isnin memutuskan memberi peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak. Selain itu, RM500 juta lagi ditambah untuk membeli peralatan yang digunakan frontliner seperti peralatan perlindungan diri (PPE), ventilator dan peralatan ICU bagi memastikan barisan hadapan kita terus dapat berkhidmat di tahap terbaik.
Bagi penulis, langkah kerajaan memastikan barisan hadapan kita terus ‘kuat dan utuh’ ini amat penting kerana sekiranya pahlawan dan benteng utama kita ini lumpuh dan runtuh, ini pastinya akan membawa malapetaka yang lebih besar dan sukar dijangka kesannya pada negara.
Contoh terdekat dengan mengambil iktibar apa yang sedang dilalui oleh Itali, peningkatan kes jangkitan dan kematian yang berganda saban hari menjadikan barisan hadapan mereka boleh dianggap sudah lumpuh dek kerana keletihan melampau yang memberi kesan kepada fizikal dan moral petugas.
Ditambah pula, kekurangan peralatan dan perubatan yang kritikal, ia menjadikan suasana di sana amat membimbangkan.
Saban hari dapat dilihat syarikat korporat dan individu menghulurkan bantuan kepada barisan hadapan kita kerana menghargai pengorbanan besar yang mereka lakukan. Kita juga perlu berkorban untuk membalas kudrat, keringat dan nyawa yang dipertaruhkan mereka dengan duduk di rumah, laksanakan penjarakkan sosial dan dapatkan pemeriksaan segera sekiranya mempunyai gejala. Jangan biarkan barisan hadapan kita lumpuh!
Penulis Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM
Sumber Asal: https://www.hmetro.com.my/rencana/2020/03/560575/sokong-barisan-hadapan