NILAI – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berpuas hati dengan persiapan dan operasi yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam menguruskan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) terkini yang beroperasi di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Beliau memberi ulasan sedemikian setelah melakukan tinjauan lebih sejam di PPV IPT Mega USIM pada Rabu pagi.
Pusat ini yang mula beroperasi pada Isnin lalu boleh memuatkan sehingga 400 penerima vaksin pada satu-satu masa dengan tempoh operasi bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
“Untuk permulaan, sebanyak 1,500 suntikan akan diberikan di PPV IPT Mega USIM ini. Jumlah ini akan ditingkatkan sehingga 3,000 penerima vaksin sehari apabila bekalan vaksin tiba nanti. Terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM dan Prof. Dr. Muhammad Shamsir Mohd Aris, Pengarah PPV IPT Mega USIM yang telah bertungkus lumus menjayakan operasi PPV IPT ini”.
“Selain daripada petugas dari Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), MyVac, RELA dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), seramai 80 petugas dari USIM yang terdiri 60 kakitangan medikal dan 20 bukan medikal turut terlibat dalam pengoperasian PPV IPT ini”. ujarnya
Dalam sidang media selepas lawatan tersebut juga, Noraini turut memuji inisiatif yang dilakukan oleh Pentadbir USIM melalui Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS) dalam menyedikan keselesaan kepada orang ramai yang datang ke PPV IPT ini.
“Pentadbir USIM telah menggerakkan usaha mengumpul dana bagi pembelian 50 unit kerusi roda berharga RM250 sebuah untuk disumbangkan ke PPV IPT Mega USIM. Usaha ini telah mencapai sasarannya dan ke semua kerusi roda ini sudah mula dimanfaatkan untuk kegunaan orang ramai sejak hari pertama PPV IPT Mega USIM ini beroperasi pada Isnin lalu. Usaha ini merupakan satu contoh sikap keprihatinan warga universiti yang tinggi terhadap keperluan masyarakat” tambahnya.
Dewan Tuanku Canselor yang menjadi PPV IPT Mega USIM mempunyai kapasiti maksimum sebanyak 30 kaunter suntikan vaksin dengan 60 pemberi vaksin disediakan.
Secara purata sebanyak 300 hingga 400 vaksin mampu diberikan dalam masa satu jam apabila ia beroperasi dalam kapasiti maksima. Sebagai PPV IPT Mega pertama yang beroperasi di Negeri Sembilan, ia akan menjadi lokasi utama bagi rakyat Negeri Sembilan khususnya yang berada di Daerah Seremban. – MalaysiaGazette
Oleh: Mohd Zaini Othman
Pautan asal: https://malaysiagazette.com/2021/06/30/usim-gembleng-sumber-jayakan-operasi-ppv/