NILAI, 31 Mac 2017 – Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtias (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mengadakan Persidangan Agung Tahunan PRAGMATIS Kali ke-4 pada Jumaat lalu bertempat di Dewan Senat, Canselori USIM.
Dihadiri seramai 87 orang pentadbir dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional pelbagai skim perkhidmatan, tujuan utama ia diadakan adalah bagi memilih kepimpinan baru persatuan ini bagi sesi 2017-2019 seperti yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Penolong Pendaftar Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Encik Salehudin Sukor diberi kepercayaan majoriti oleh ahli untuk dilantik sebagai Presiden PRAGMATIS bagi penggal baharu ini. Puan Siti Nurbaya Ismail, Timbalan Bendahari di Jabatan Bendahari USIM pula menjadi pentadbir wanita pertama yang dipilih sebagai Timbalan Presiden PRAGMATIS semenjak ia ditubuhkan.
Pendaftar USIM, Encik Muhammad Haizuan Rozali mengucapkan tahniah kepada exco yang baharu dan mendoakan barisan kepimpinan ini terus menyerlah. “Anda (ahli PRAGMATIS) diminta terus menyokong kepimpinan yang baharu iniberlandaskan konsep collegiality dan dignity pentadbir. Syabas!” ulas beliau.
Salehudin dalam reaksinya selepas dipilih mengucapkan setinggi terima kasih kepada Pengurusan Universiti yang sentiasa memberi sokongan kepada persatuan ini sejak awal penubuhannya hingga kini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kepimpinan persatuan sebelum ini kerana telah membawa visi dan misi persatuan dengan cemerlang sekaligus memartabatkan kumpulan Pengurusan dan Profesional USIM dengan begitu jelas di peringkat dalam dan luar Universiti.
Seramai 18 orang dipilih untuk membarisi kepimpinan baharu PRAGMATIS yang terdiri dari pentadbir baharu dan senior. Selain pemilihan, laporan aktiviti persatuan, kewangan dan beberapa usul turut dibentangkan dalam persidangan ini serta pengisian selingan iaitu cabutan bertuah.