NILAI, 14 Mac 2017 – Peranan dan fungsi unversiti yang semakin dinamik dan berkembang dengan pantas kini menjadikan peranan kumpulan pengurusan dan profesional yang berada di dalamnya perlu memainkan tanggungjawab yang lebih besar.
Selaku pentadbir di dalam universiti, kumpulan ini tidak boleh lagi berada pada fasa memberi kesedaran mengenai dasar-dasar semasa universiti, tetapi berani mengambil peranan menjadi agen perubah untuk senario baharu tadbir urus universiti yang lebih berkesan.
Saranan ini disampaikan oleh Pendaftar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Haizuan Rozali dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar PRAGMATIS USIM 2.0 : Perkongsian Amalan Terbaik dalam Pengurusan Universiti. Seminar yang diadakan selama dua hari bermula pada hari ini di Dewan Kuliah Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.
“Pada suatu ketika dahulu, universiti sebagai pusat yang menghimpun pelbagai ilmuan memainkan peranannya sebagai institusi yang menjadi pusat rujukan kepada pemimpin dan masyarakat untuk mendapatkan kebenaran. Tuntutan sekeliling, peredaran zaman dan percambahan universiti menambah fungsinya untuk turut menjadi penggubal dan pelaksana dasar kepada negara. Di sinilah peranan pentadbir universiti itu semakin besar”.
“Justeru itu, pentadbir universti kini harus mempersiapkan diri dengan segala ilmu pengetahuan dan kepakaran untuk memastikan keputusan yang dibuat tidak lagi bersifat andaian, tetapi berasaskan pertimbangan fakta,kajian dan bukti yang sahih. Pada tahap ini, pentadbir universiti bukan sahaja mampu membuat keputusan terbaik atas kapasitinya tetapi turut mampu menasihati para pembuat keputusan dengan pandangan yang jelas dan mapan” ujarnya.
Seminar PRAGMATIS USIM 2.0 ini adalah anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM dengan objektif menyediakan platform kepada para pegawai universiti untuk membentangkan kertas kerja bercorak analitikal dan ilmiah. Ia juga menjadi ruang kepada perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan supaya dapat dijadikan budaya di universiti masing-masing.
Sebanyak dua ucaptama dan 15 siri pembentangan kertas kerja yang menyentuh pelbagai isu di universiti bakal mengisi dua hari seminar ini berlangsung antaranya pengurusan sumber manusia, kewangan, akademik, hal ehwal pelajar, pengantarabangsaan, penyelidikan dan inovasi. Seramai 150 peserta menyertai seminar ini yang terdiri daripada pentadbir universiti awam seperti Universiti Putra Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Terengganu dan USIM.