KITA dikejutkan laporan media berkaitan penahanan 37 individu terbabit dalam penyelewengan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut bayaran insentif pengambilan pekerjaan dan latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PenjanaKerjaya) dengan jumlah keseluruhan RM100 juta.
Sebelum itu, seorang kadi yang juga pegawai kanan jabatan agama Islam direman empat hari kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu dua tahun lalu, iaitu berkaitan elaun perjalanan dalam negeri untuk Oktober 2020 ke Bahagian Kewangan Pejabat Kadi Daerah. Tertuduh dikatakan membuat tuntutan menggunakan kenderaan persendirian, sedangkan menghadiri program berkenaan menggunakan kenderaan jabatan.
Dua contoh itu hanya tip of the iceberg atau sebilangan daripada banyak contoh kes kerap berlaku dalam masyarakat sama ada membabitkan penjawat awam mahupun orang ramai.
Tidak pelik jika carian ‘tuntutan palsu’ dibuat di internet, kita akan menemukan ribuan berita daripada pelbagai sumber memaparkan kisah salah laku tuntutan palsu.
Ia seakan-akan norma dalam masyarakat sejak dahulu, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar jumlah wang. Ironinya, masih ada menganggap membuat tuntutan palsu sebagai kesalahan biasa yang tiada kaitan dengan rasuah.
Lebih mengejutkan, kaji selidik terhadap 1,274 responden di sebuah institusi awam mendapati 22.8 peratus menganggap tuntutan palsu bukan rasuah. Meskipun tidak semestinya mencerminkan keseluruhan masyarakat, ia sedikit sebanyak memberi gambaran masih terdapat mereka yang tidak memahami konsep dan definisi rasuah turut termasuk tuntutan palsu yang sering berlaku terutama di agensi awam.
Fahami definisi rasuah
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah utama, meminta atau menerima rasuah, memberi suapan, mengemukakan tuntutan palsu dan salah guna kuasa.
Keempat-empat kesalahan ini menjadi definisi rasuah harus difahami masyarakat. Ia secara jelas mengklasifikasikan tuntutan palsu sebagai kesalahan rasuah. Tuntutan palsu boleh berlaku apabila seseorang mengemukakan tuntutan bayaran bagi sesuatu tugasan tidak dilaksanakan atau tidak dibuat berdasarkan garis panduan atau spesifikasi ditetapkan.
Contohnya, tuntutan perjalanan dibuat ke atas perjalanan tidak dilakukan. Dalam kes seperti ini, biasanya dokumen palsu seperti resit bayaran dan lain-lain akan digunakan sebagai dokumen sokongan.
Begitu juga tuntutan palsu dibuat dengan sokongan dokumen palsu melalui perbuatan meminda dokumen perbelanjaan dengan meningkatkan kos dalam dokumen berbanding kos sebenar digunakan.
Bayangkan jika tuntutan palsu berlaku tanpa kawalan, ketirisan dana awam akan menjadi parah. Wang yang sepatutnya diberikan untuk tujuan betul untuk dimanfaatkan masyarakat, digunakan untuk kepentingan peribadi pihak tidak bertanggungjawab.
Ada pihak cuba mengaitkan gaji rendah sebagai sebab utama rasuah dan tuntutan palsu. Namun, kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam mendapati pendapatan atau penetapan tangga gaji kecil dan rendah bukanlah punca utama atau satu-satunya punca penjawat awam mengambil rasuah.
Antara punca utama, sikap tamak dan haloba, wujudnya ruang serta peluang melakukan perbuatan rasuah dan tahap integriti rendah dalam kalangan pegawai terbabit.
Selain itu, perlakuan rasuah seperti mengemukakan tuntutan palsu turut berlaku disebabkan kecenderungan dan keghairahan menikmati gaya hidup mewah melampaui kemampuan diri dan dalam tempoh singkat.
Gaji RM3,000 hingga RM4,000 contohnya, tetapi ingin bergaya dengan kereta mewah di luar kemampuan. Begitu juga, bagi bergaji lebih tinggi ingin menikmati hidup lebih mewah melampaui kemampuan gaji semasa.
Salah guna tanggungjawab, amanah
Tiada salahnya menjadi kaya dan hidup mewah jika mampu serta caranya betul dan halal. Namun akan jadi salah jika tidak mampu tetapi masih tetap ingin hidup mewah hingga sanggup menggunakan cara salah termasuk menyalahgunakan tanggungjawab dan amanah diberikan.
Tanggungjawab dan amanah seperti kuasa berkaitan perolehan, meluluskan, memberi pengiktirafan, dalam penganugerahan projek/tender, tanggungjawab penguatkuasaan dan lain-lain yang jika dibuat tanpa integriti dan ketelusan akan rosak sistem bermasyarakat.
Begitulah, daripada sekecil-kecil hingga sebesar-sebesar organisasi, risiko berlakunya rasuah sangat luas jika tiada usaha pemantapan integriti dilakukan.
Janganlah diambil ringan atau dibiarkan perbuatan rasuah dan tuntutan palsu ‘dinormalisasikan’ dalam perkhidmatan/tugasan. Tindakan ini akan menghancurkan integriti dan amanah rakyat serta kesetiaan kepada negara.
Ambillah iktibar daripada kejatuhan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) baru-baru ini. Walaupun ia terhasil daripada persepsi, namun tetap perlu diambil pengajaran untuk memperbaiki budaya kerja kita ke tahap integriti yang lebih baik. Benar, adalah mustahil untuk hapuskan rasuah secara total, namun kita boleh lakukan sesuatu untuk mengurangkan kadarnya.
Oleh Mazlan Nawang dan Dr Nisar Mohammad Ahmad – Ogos 21, 2022 @ 1:44pm bhrencana@bh.com.my
Ketua Bahagian dan Penyelaras Syariah Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) Universiti Sains Islam Malaysia.
Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2022/08/991031/perbuatan-tuntutan-palsu-hancurkan-amanah-rakyat