PRAGMATIS USIM Menang Anugerah Emas Program Terbaik dan Anugerah Perak Persatuan Pentadbir Terbaik MASTI

JOHOR BAHRU, 20 Ogos 2022 – Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya memenangi Anugerah Emas Program Persatuan Terbaik MASTI dan anugerah Perak Persatuan Pentadbir MASTI pada Majlis Anugerah Gemilang MASTI 2022 (MAGMA2022) pada 20 Ogos 2022 bertempat di Pulai Springs Resort, Johor Bahru.

Anugerah Persatuan Pentadbir Terbaik merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada Persatuan Pentadbir Universiti Awam yang telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan. Penilaian adalah berdasarkan kepada persatuan yang aktif mengadakan pelbagai program/aktiviti berupa ilmiah/santai/komuniti atau program CSR, persatuan yang menghasilkan penemuan/kaedah baru dalam pengurusan dan pentadbiran, persatuan yang memberi peranan dalam penambahbaikan yang mempunyai impak yang tinggi terhadap pengurusan & pentadbiran, persatuan yang dapat menarik lebih 80% daripada pentadbir Universiti untuk terlibat dalam program/aktiviti yang dilaksanakan dan persatuan yang pernah menerima anugerah/pengiktirafan di peringkat Universiti, Negeri, Kebangsaan mahupun Antarabangsa.

Manakala Anugerah Program Persatuan Terbaik MASTI merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada Program Projek MASTI yang telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan. Penilaian anugerah ini berdasarkan kepada program yang dianjurkan oleh persatuan yang menjana pendapatan, penganjuran program yang menarik ramai penyertaan daripada luar atau dalam Universiti khususnya penyertaan daripada Universiti Awam dan mendapat pengiktirafan di peringkat Universiti, Komuniti, Negeri, Kebangsaan dan Antarabangsa.

PRAGMATIS USIM merupakan persatuan yang ditubuhkan di USIM pada tahun 2010 yang memperjuangkan laluan kerjaya dan kebajikan sosial ahli iaitu Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Tadbir dan Ikhtisas) di USIM. Untuk rekod, pada tahun 2021 PRAGMATIS telah menguruskan sumbangan dan penjanaan bagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di USIM. PRAGMATIS berjaya mengumpulkan sumbangan daripada orang awam untuk menyumbangkan pelbagai kemudahan untuk PPV seperti kerusi roda, bekalan makanan dan minuman, hand sanitizer, pelitup muka, penyembur sanitizer dan sumbangan wang tunai.

Salain itu, PRAGMATIS turut melaksanakan program CSR di peringkat USIM iaitu mengadakan program sanitasi di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Kompleks Islam Tunku Muhriz malah turut menyumbangkan kerusi roda dan mesin semburan ke Sekolah-sekolah untuk kegunaan guru dan murid-murid bagi mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran. PRAGMATIS juga menyumbangkan kutipan wang tunai kepada waris staf USIM yang telah meninggal dunia pada tahun 2021 dan turut melakukan program CSR dengan memberi makanan dan pek kesihatan COVID-19 kepada pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.