PRAGMATIS USIM Sertai Program CSR VCORE Kempen Penghijauan Penanaman Pokok Bakau

GELANG PATAH, 19 Ogos 2022 – Seramai sembilan (9) orang daripada PRAGMATIS USIM telah menyertai program tanggung jawab sosial (CSR/USR) kempen Penghijauan Malaysia dengan Penanaman Pokok Bakau di Gelang Patah, Johor Bahru pada 19 Ogos 2022. Program CSR ini merupakan program anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) sempena Konvensyen Pentadbir Universiti Awam Malaysia (KPUA2022) yang diadakan di Johor Bahru dengan penganjur strategiknya adalah Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Projek ini merupakan projek penjenamaan VCORE VIII iaitu projek Volunteerism University Social Responsibility (VCORE) yang merupakan program tahunan anjuran MASTI sebagai tanggung jawab sosial MASTI kepada masyarakat dan juga negara. Sebanyak 200 anak pokok bakau telah ditanam di sekitar Gelang Patah, Johor Bahru. Pokok bakau boleh bertindak sebagai benteng pemecah ombak semula jadi di sekitar pesisiran pantai dan penanaman bakau juga dapat mengurangkan daya kekuatan pukulan ombak dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kejadian hakisan dan mendapan tanah.