PERLIS, 22 OGOS 2015 – Penyertaan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS), Pegawai Tadbir USIM di Seminar Perkongsian Projek Kesukarelaan dan Program Tanggungjawab Sosial Universiti di UniMAP, Perlis membuah hasil apabila kumpulan pembentang USIM membawa pulang 2 pingat emas dan 2 pingat perak.
Seminar anjuran UniMAP dan MASTI pada 21 dan 22 Ogos diadakan bertujuan berkongsi amalan terbaik projek-projek kesukarelaan yang pernah dianjurkan oleh semua Universiti Awam serta agensi kerajaan bagi mewujudkan kerjasama pintar dalam menguruskan program tanggungjawab sosial.
Bagi pembentangan projek CSR, tiga kumpulan dari USIM adalah dari Program CSR Kelab Wardah USIM mendapat pingat emas, CSR:Sinergi di antara Perpustakaan USIM dan SKIL mendapat pingat perak dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Perpustakaan USIM turut mendapat pingat perak. Manakala pameran bergambar diwakili oleh kumpulan Pameran Misi Bantuan Banjir 2015 & Beg Sonic (Beg Kecemasan Serbaguna) mendapat pingat emas.
Pasukan pembentang Kelab Wardah yang di anggotai oleh Pn. Azlina Othman (Pembentang), Pn. Hariza Mohd Yusof dan Pn. Normah Osman berkongsi pengalaman ahli-ahli Wardah yang terlibat dengan pelbagai program kemanusiaan di peringkat global dan juga kebangsaan dengan kalangan masyarakat tempatan khususnya warga universiti awam lain. Antara projek CSR yang diketengahkan ialah projek kemanusiaan di Jordan, lawatan ke wad pediatrik hospital seremban, infak susu kepada bayi syria dan bantuan mangsa banjir pantai timur.
Kumpulan beg kecemasan serbaguna mengambil tagline USIMPRIHATIN telah membentangkan misi pasca banjir yang telah dijalankan oleh USIM. Dari aktiviti khidmat bakti tersebut, satu inovasi dan kajian tentang bencana banjir yang berlaku telah menghasilkan produk inovasi iaitu beg sonic. Ia merupakan beg kecemasan serbaguna yang mempunyai pelbagai fungsi, tahan lasak dan senang dibawa kemana-mana.
“Kami juga membawa hasil kajian tentang panduan ibadah semasa kejadian banjir yang memberikan banyak kupasan untuk memudahkan urusan ibadah di kalangan mangsa banjir yang pada masa itu amat sukar untuk mendapat keadaan selesa bagi menunaikan kewajipan sebagai Muslim,” tambah Dr Nik Mohd Syafikudin.
Seminar ini telah berjaya mencetuskan satu idea dan jaringan sosial yang baik dalam kalangan agensi kerajaan dan Universiti Awam sekaligus memberi impak positif kepada peserta dan kakitangan yang turut serta.