PRAGMATIS USIM ERAT SILATURRAHIM DENGAN SESI SANTAI MINUM PETANG

NILAI, 8 Januari 2016 – Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka jendela program tahun 2016 untuk para ahlinya dengan menganjurkan Majlis Santai Minum Petang bertempat di Nilai Spring Golf & Resort pada 8 Januari 2016. Seramai 116 orang Pentadbir USIM dari pelbagai skim perkhidmatan dan jabatan menyertainya sesi ini. Bertujuan untuk merapatkan lagi jalinan silaturrahim sesama ahli, ia juga menjadi platform untuk mendengar harapan dan suntikan semangat yang diberikan oleh Pendaftar USIM, Encik Muhammad Haizuan Rozali selaku tetamu kenamaan di majlis ini. “Pentadbir Universiti perlu memiliki pelbagai kebolehan, pada masa tonjolkan kepakaran yang dimiliki dan menjadi rujukan oleh pihak luar. Cabaran mengurus institusi pengajian semakin hebat dan disinilah peranan, kreativiti dan pengalaman seorang pentadbir amat diperlukan. Universiti akan mendokong melalui enablers (insentif) yang pelbagai untuk melonjak kecemerlangan warganya.” ujar Muhammad Haizuan.Pada majlis santai ini turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada mantan Exco PRAGMATIS sesi 2013/2015 dan watikah Exco baharu sesi 2015/2017 yang diterima Presidennya kini, Mohd Asri Husin yang merupakan Timbalan Pendaftar Kanan Pusat Komunikasi Strategik. Selain itu majlis turut diceriakan dengan sesi pertukaran hadiah dan suai kenal dengan ahli baharu.-MZO-