Sesi Pertemuan PRAGMATIS Bersama Naib Canselor USIM yang Ke-Enam

NILAI, 15 Ogos 2022 – Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi pertemuan dengan YBhg. Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM pada 15 Ogos 2022 bertempat di Bilik Mesyuarat Naib Canselor. Pertemuan ini merupakan salah satu misi beliau untuk berjumpa dengan semua persatuan dan pusat tanggung jawab semenjak pelantikan beliau sebagai Naib Canselor USIM pada 10 Mei 2022 yang lalu.

Pertemuan kali ini adalah antara Naib Canselor dengan barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PRAGMATIS yang diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Salehudin Sukor, Presiden PRAGMATIS. Untuk rekod, YBhg. Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani merupakan Naib Canselor USIM yang ke-6 dan beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM serta pernah memegang sebagai Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi.

Sesi pertemuan ini diadakan selama satu jam dengan penuh sesi perkongsian daripada PRAGMATIS berkaitan dengan latar belakang, visi, misi, aktiviti dan pelan jangka pendek PRAGMATIS sebelum menjelang Persidangan Agung Tahunan PRAGMATIS pada bulan Mac tahun 2022. YBhg. Naib Canselor turut berkongsikan hasrat beliau agar PRAGMATIS dapat bersama-sama dengan beliau untuk memajukan USIM dengan moto beliau “USIM Cemerlang, USIM disayang”. Beliau juga sempat merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada PRAGMATIS untuk sesi pembentangan kertas kerja serta pencalonan daripada PRAGMATIS untuk Anugerah Gemilang MASTI pada Konvensyen Pentadbir Universiti Awam 2022 yang akan berlangsung pada 18-20 Ogos 2022.