Kursus Penulisan Artikel berjaya Hasilkan 14 Artikel ke Konvensyen Pentadbir Universiti

NILAI, 24 Jun 2022 – Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Kursus Penulisan Artikel dan Kertas Kerja Konvensyen Pentadbir Universiti. Kursus ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada ahli-ahli khususnya kepada Ahli PRAGMATIS untuk menulis artikel berdasarkan kepada format yang ditetapkan serta tips untuk membuat abstrak, literature review, metodologi kajian, hasil penemuan, pernyataan masalah, isu fokus dan lain-lain perkara.

Penceramah bagi kursus ini adalah Encik Mohd Helmi Masor@Mansor merupakan Timbalan Ketua Pustakawan, Jabatan Perpustakaan USIM yang berpengalaman dan penulisan artikel dan penghantaran dalam pelbagai seminar dan persidangan peringkat Universiti dan Kebangsaaan.

Kursus ini turut dihadiri oleh Presiden PRAGMATIS iaitu Encik Mohd Salehudin Sukor dan peserta bagi kursus ini adalah seramai 25 orang yang merupakan ahli PRAGMATIS serta ahli luar yang berminat dalam penulisan artikel dan kertas kerja Konvensyen Pentadbir Universiti.

Pihak PRAGMATIS berharap agar semua peserta mendapat ilmu yang dikongsikan oleh penceramah dan dapat menggembleng idea untuk menulis artikel bagi menyokong penganjuran Konvensyen Pentadbir Universiti yang dianjurkan oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) dan juga penganjur strategik iaitu Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).